Tangan warga emas tersepit mesin tebu

12 April 2012

KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang warga emas untuk menambah pendapatan keluarga dengan menjual air tebu bertukar tragedi apabila tangan kanannya terpaksa dipotong selepas digilis mesin tebu dalam kejadian di Taman Semarak, Bukit Tunggal dekat sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi menyebabkan tangan kanan Wan Hamzah Wan Ismail, 58, yang juga penghidap sakit jantung itu terpaksa dipotong sehingga ke pergelangan tangan.

Anak mangsa, Wan Nor Hazha, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang membersihkan tebu di belakang gerai sebelum terdengar ayahnya menjerit meminta tolong setelah tangannya tersepit pada mesin berkenaan.

"Sebaik mendengar jeritan itu saya terus berlari ke arah ayah dan segera menutup suis mesin tebu. Saya lihat tangan ayah sehingga ke pergelangan sudah leper seperti hampas tebu.

"Saya panik ketika itu dan cuba menahan kenderaan yang lalu di depan gerai, namun tiada yang berhenti.

"Saya kemudiannya meminta pertolongan daripada beberapa pekerja yang sedang menyelenggara rumah tidak jauh dari situ," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurutnya, ayahnya terpaksa menahan kesakitan kira-kira sejam sebelum tangannya berjaya dikeluarkan selepas mesin itu dileraikan dengan bantuan orang ramai.

Mangsa yang telah tujuh tahun berniaga air tebu, kemudian dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut. Katanya, tangan kanan ayahnya itu terpaksa dipotong kerana kecederaan parah yang dialami.

Sementara itu mangsa yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijadual ke Institut Jantung Negara (IJN), 18 Mac ini untuk menjalani pemeriksaan selepas membuat pembedahan kecil kira-kira tiga bulan lalu.

"Doktor memaklumkan keadaannya stabil tapi saya harap insiden ini tidak menjejaskan kesihatan jantung ayah saya yang memang sudah bermasalah," katanya. - Bernama
Read Post | comments

Rexy Mainaky letak jawatan

Rexy Mainaky
KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rexy Mainaky sah meletak jawatan sebagai jurulatih beregu wanita dan berkuat kuasa 30 April ini.

Peletakan jawatan bekas juara dunia beregu lelaki itu, mengejutkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika negara sedang bertungkus-lumus mempersiapkan barisan terbaik beregu wanita ke Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Rexy yang sudah tujuh tahun berkhidmat bersama BAM memutuskan menyahut cabaran baru sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Filipina dan berkuat kuasa 1 Mei ini dengan kontrak selama dua tahun.
Read Post | comments

Suami minta cerai, Rita Rudaini redha

rita

HAL perceraian sudah pastinya perkara yang paling ingin dihindari oleh setiap pasangan yang berkahwin.
Begitu juga halnya dengan pasangan suami isteri, Rita Rudaini Mokhtar, 36 dan Aidil Zafuan Abdul Razak, 25 yang diuji dengan pelbagai dugaan sepanjang lima tahun tempoh perkahwinan mereka.
Setelah pelbagai dugaan dilalui dengan tabah, akhirnya kemelut rumah tangga pasangan ini tiba di kemuncaknya apabila kelmarin Rita menerima mesej daripada suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak mengenai permohonan cerai.
Menganggap apa yang berlaku sebagai takdir yang sudah tertulis untuknya, Rita tidak mahu melayan perasaan sedih sebaliknya hanya ingin menumpukan perhatian kepada anak-anak.
“Saya anggap apa yang berlaku sudah tertulis sebagai takdir saya. Saya percaya pada qada’ dan qadar Allah dan terima ia dengan redha.

“Malah, saya bersyukur sangat-sangat kerana kekuatan saya adalah pada mata anak-anak. Saya tidak kisah hilang yang lain asalkan anak-anak sentiasa bersama saya,” katanya yang ditemui semasa majlis hari lahirnya yang ke-36, hari ini.
Menurut Rita, permohonan penceraian tersebut tidak langsung memeranjatkannya memandangkan Aidil sendiri tidak pulang ke rumah mereka di Damansara sejak empat bulan lalu.
Mengakui sudah tawar hati dengan perangai suaminya, Rita bagaimanapun tidak pernah menyesal bergelar isteri kepada pemain bola sepak itu.

“Saya berkahwin dengannya atas dasar sayang dan cinta bukannya sebab duit. Pelbagai dugaan telah saya lalui sepanjang berkahwin dengannya malah saya pernah dipulaukan oleh orang kerana keputusan kami untuk berkahwin.
“Setiap kali kami ada masalah, dia sering sahaja menghilangkan diri dan meninggalkan saya dan anak-anak. Saya perlukan seorang lelaki yang matang dan tegas serta dapat melindungi diri saya dan anak-anak, bukannya lelaki yang lari apabila ada masalah.
“Secara jujurnya, sudah lama saya tawar hati dengan dia (Aidil), tetapi hanya kerana memikirkan anak-anak, saya tidak mahu perbesarkan hal ini,” katanya yang kelihatan sebak semasa ditemui.
Bagaimanapun, menurut Rita, dia hanya mengikut ketentuan Allah dan bersedia sekiranya sudah tertulis jodoh mereka masih panjang.
“Jika sudah tercatat jodoh kami masih panjang, saya akan terima namun jika dikatakan hanya setakat ini sahaja jodoh kami, saya redha,” katanya.-http://www.sinarharian.com.my/hiburan/suami-minta-cerai-rita-rudaini-redha-1.39289
Read Post | comments

‘Meninggal dunia’ punca BR1M ditolak

11 April 2012

‘Meninggal dunia’ punca BR1M ditolak
JEMPOL - Sebelum ini, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimohon ditolak atas alasan permohonan tidak lengkap.
Bagaimanapun, seorang pesara polis di Bandar Seri Jempol, dekat sini terkejut apabila mendapati masalah itu berpunca daripada kesilapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang merekodkannya sebagai sudah meninggal dunia.
Segalanya terbongkar apabila Abdullah @ Abd Lah Ujang, 65, datang ke pejabat JPN di sini untuk mendaftarkan kematian isterinya pada 29 Februari lalu.
“Saya terkejut dan bagaikan tidak percaya apabila pegawai JPN memberitahu saya tidak boleh daftarkan kematian­ isteri saya, disebabkan saya sudah meninggal dunia pada 1 September 2000.
Menurutnya, dia pernah membuat rayuan­ berhubung permohonan BR1M, tetapi, sehingga kini belum terima sebarang jawapan.
“Tarikh saya direkodkan meninggal dunia itu sebenarnya tarikh saya bersara sebagai anggota polis,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Taman Seri Serting, Bandar Baru Jempol, semalam.
Bapa lima anak itu kemudian­ dinasihatkan pegawai JPN membuat surat akuan sumpah mengesahkan dia sebenarnya masih hidup.
“Segala maklumat berkaitan­ saya sudah serahkan kepada JPN, malah pegawainya juga ada datang ke rumah.
Abdullah berkata, dia bimbang kemungkinan menghadapi masalah lain kesan daripada kesilapan itu, terutama ketika berurusan dengan jabatan­-jabatan lain.
“Saya harap JPN selesaikan masalah saya dengan cepat. Saya bimbang ia menjejaskan peluang saya mengundi pada pilihan raya umum nanti,” katanya.-http://www.sinarharian.com.my/nasional/meninggal-dunia-punca-br1m-ditolak-1.39074
Read Post | comments

Nekad lapor polis elak ibu menipu

Nekad lapor polis elak ibu menipu

KUALA LUMPUR – Seorang anak tidak sanggup melihat ibunya terus menipu orang ramai mengambil keputusan membuat laporan polis bersama mangsa yang pernah ditipu ibunya sejak beberapa tahun lalu.
Ibunya yang dikenali sebagai Sajitha, 48, menggelar dirinya sebagai bomoh yang boleh mengubati penyakit dan menghalang anasir jahat masuk ke dalam badan mangsa yang ditipu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 19, tampil membuat laporan polis kerana tidak mahu ibunya terus menipu dan mengelakkan orang ramai menjadi mangsa datang ke rumahnya di Ampang.
Menurutnya, setiap hari, mereka yang menjadi mangsa penipuan ibunya datang ke rumah untuk meminta ganti rugi dan memulangkan semula barangan diambil ibunya.
“Saya risau dengan keadaan ini kerana tiga adik beradik yang masih kecil dan bersekolah berada dalam rumah itu kerana ada mangsa merosakkan barang dalam rumah.
“Saya tidak mahu perkara tidak elok berlaku dan mahu ibu berhenti menipu,” katanya di Bangunan MCA Jalan Ampang, semalam.
Nur berkata, ibunya dipercayai mengamalkan ilmu hitam sejak remaja dan diberitahu punca penceraian mereka juga disebabkan perkara tersebut.
Menurutnya, dia pernah melihat ibunya melakukan proses jampi bersama mangsa dalam bilik dan menjumpai darah, jarum dan kain putih.
“Akibat tidak tahan tinggal dengan ibu, saya mengambil keputusan tinggal bersama ibu saudara dan selepas berkahwin, ibu datang dan mahu suami saya memohon pinjaman­ peribadi.
“Apabila pinjaman diluluskan, saya mendapat tahu ibu menipu dan kami tidak menerima permohonan itu.
Nekad lapor polis elak ibu menipu“Disebabkan itu, ibu marah dan dipercayai menjadi punca suami saya sering sakit sejak kebelakangan ini,” katanya.
Turut sama pada sidang media itu, bapa tirinya yang hanya mahu dikenali Zul, 38, bekerja sebagai juru teknik.
Zul berkata, dia berkahwin dengan ibu Nur, lapan tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan.
“Saya rugi RM9,000 kerana dipercayai isteri saya menggunakan akaun orang lain untuk meminta duit akibat kerosakan kereta.
“Saya tidak pasti perkara ini dan tidak boleh ke luar negara kerana pasport dan anak saya bersamanya,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Zana, 31, berkata, dia kerugian 9, 000 selama setahun mengenali Sajitha.
Menurutnya, pelbagai ugutan diterima sekiranya dia tidak mengikut kehendak Sajitha.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, tujuh mangsa tampil membuat aduan bersama laporan polis dibuat.
Menurutnya, RM30,000 kerugian semua mangsa dan menasihatkan orang ramai jangan terlalu mempercayai perkara karut.--http://www.sinarharian.com.my/nasional/nekad-lapor-polis-elak-ibu-menipu-1.39080
Read Post | comments

Rita Rudaini Terima SMS Cerai Daripada Suami

Rita dan suaminya Aidil Zafuan.
KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini menjelaskan telah menerima berita sahih bahawa suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25 telah membuat permohonan untuk bercerai dengannya.

Rita dan suaminya Aidil Zafuan.
Rita dalam laporan Utusan Malaysia pada Rabu berkata, suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan itu sendiri telah memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Dalam SMS yang diterima Rita, Aidil memberitahu sudah menfailkan penceraian dan peguamnya akan memaklumkan lebih lanjut perkara itu kepada Rita.
Menurut Rita, dia tidak berasa kecewa atau bersedih dengan apa yang telah diputuskan suami memandangkan sudah lebih empat bulan Aidil ‘menghilangkan’ diri setelah keluar dari rumah mereka.
“Saya terima apa yang sudah tertulis. Kami bernikah di Thailand, mempunyai dua anak dan sekarang ini saya bakal bergelar ibu tunggal, semua ini takdir hidup saya," katanya.
Pada 10 Januari lalu, Rita bersama dua anaknya yang baru pulang dari Kangar, Perlis agak terkejut apabila mendapati Aidil meninggalkan rumah selepas menghantar mesej menerusi SMS tanpa memberitahu alasannya.
Bagaimanapun beberapa hari selepas itu seorang pembantu rumah Rita memberitahu kembar bintang bola sepak tersebut iaitu Zaquan Adha bersama isterinya, pelakon Ayu Raudhah membantu untuk “membawa lari” Aidil dari rumah berkenaan-Mstar


Read Post | comments
 
© Copyright Berita Online Malaysia 2011 - Some rights reserved | Powered by Blogger.com.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published byBorneo Templates and Theme4all